Posted on: June 17, 2020 Posted by: Admin Comments: 0

Sejak desas-desus kerajaan Pakatan Harapan akan kembali menerajui Malaysia, mata orang ramai tertumpu kepada persoalan – siapakah yang akan menjadi perdana menteri mereka? Adakah mereka akan kekal menggunakan Mahathir sebagai perdana menteri, atau kali ini Anwar Ibrahim akan benar-benar diberi peluang untuk mentadbir Malaysia. Saya melihat ada segelintir kumpulan anak muda dan tua yang mendesak Anwar Ibrahim untuk sekali lagi “berhati besar” dengan memberi laluan kepada Mahathir untuk mentadbir Malaysia. Aksi ini katanya dilakukan demi menjatuhkan kerajaan pintu belakang yang sedang melakukan kerosakan terhadap Malaysia

Idea ini hanyalah terpakai untuk mereka yang gila kuasa

Saya melihat pelopor gerakan ini kebanyakannya datang dari anak muda yang terlibat secara langsung dengan parti politik. Untuk kumpulan ini, selalunya mereka akan membenarkan apa-apa sahaja cara untuk kembali berkuasa, termasuklah meletakkan Mahathir yang sebenarnya jadi punca kepada kekalutan politik yang tengah berlaku sekarang.

Demi untuk menjadi kerajaan semula, mereka sanggup melupakan semua perbuatan yang telah dilakukan oleh Mahathir pada awal tahun ini. Jika Mahathir benar-benar ikhlas untuk memberikan kuasa kepada Anwar Ibrahim, sudah tentu plan transisi akan kelihatan lebih baik dan teratur. Malangnya, sejak menjadi perdana menteri, Mahathir gemar bermain teka-teki tentang status peralihan kuasa. Tiada waktu yang jelas dan perancangan yang rapi untuk menyerahkan kuasa. Bahasa mudahnya, Mahathir seperti tidak berniat untuk menyerahkan kuasanya kepada Anwar.

Satu perkara lagi, buat masa ini Mahathir tidak memiliki jumlah Ahli Parlimen yang banyak. Setelah keputusan PRU14 hari itu diketahui, kita dapat melihat, kerusi Parti Keadilan Rakyat lebih banyak berbanding Bersatu. Namun, atas dasar hormat kepada perjanjian dan mandat yang telah diberikan rakyat, PKR tetap bersetuju untuk memberikan jawatan perdana menteri kepada Mahathir.

Jika kita lihat pada posisi Kabinet, jawatan-jawatan penting turut disandang oleh orang-orang dari Bersatu. Inilah “jiwa besar” yang telah diberikan PKR kepada pasukan Mahathir, namun masih ada yang terpedaya dengan dakyah Anwar ingin jatuhkan Mahathir.

Akhirnya pada hari ini mereka menyesal kerana sedar perkara ini tidak benar. Malangnya penyesalan itu sudah terlambat. Mereka yang menipu untuk berkuasa kita boleh duduk bersantai di Putrajaya sambil membahagi-bahagikan harta rampasan perang (jawatan-jawatan dalam GLC).

Mengapa Anwar harus diberikan peluang, dan kini giliran Mahathir untuk berjiwa besar

Saya ada membaca tulis Maszlee tentang “kail panjang sejengkal” Mahathir, dan saya bersetuju bahawa Mahathir memang mempunyai kail yang panjang sejengkal (dari segi jumlah ahli Parlimen). Oleh itu, setelah banyak pengorbanan yang dilakukan oleh Anwar dan PKR, kini, giliran Mahathir pula untuk “berjiwa besar” dan memberi laluan kepada Anwar untuk memimpin negara.

Mahathir konsisten dalam tulisannya tentang kepentingan kita memenuhi mandat rakyat apabila mengkritik kerajaan Perikatan Nasional. Saya harap Mahathir tak lupa, memberikan jawatan kepada Anwar merupakan salah satu mandat yang telah “dibeli” oleh rakyat. Lagipun, Mahathir tidak akan rugi apa-apa sekiranya dia memberikan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Sekiranya Anwar berjaya menjadi perdana menteri yang baik, Mahathir boleh kata; dia yang memberikan peluang dan membantu. Sebaliknya, jika Anwar gagal menjadi perdana menteri yang baik, Mahathir boleh kata – “saya dah kata dahhh”.” Jadi dia berada di posisi yang selesa apabila Anwar menjadi perdana menteri.

Persoalan penting yang perlu dijawab oleh kelompok yang menyokong Mahathir sebagai perdana menteri semula; mengapa harus Anwar Ibrahim saja yang berkorban? Dia telah menghabiskan masanya selama bertahun-tahun untuk bersabar, termasuklah tempoh 22 bulan konsisten berkata – Mahathir harus diberikan masa. Bukankah dalam posisi hari ini, lebih baik Tun Mahathir mengalah kerana dia telah mendapat peluang selama 22 bulan mentadbir, dan dia merupakan salah satu punca krisis ini berlaku.


 

Artikel ini ditulis oleh Johan Abdul yang merupakan seorang pembaca politik tanah air.

Leave a Comment