Posted on: June 17, 2020 Posted by: Admin Comments: 0

Saya ni bukanlah penyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bukan ahli PKR pun. Tetapi dalam isu PM 9 yang diwarwarkan oleh Pakatan Harapan dan Warisan hari ini, saya nak tanya mereka dalam PH yang semangat sangat nak bagi peluang kat Tun Dr Mahathir Mohamad: mereka ni mudah lupa ke?

Bermula dengan minta PM1 Tunku Abdul Rahman letak jawatan selepas 13 Mei 1969, sehingga dipecat parti dan berceramah PAS; menekan PM3 Tun Hussein Onn letak jawatan untuk beri laluan kepadanya pada 1981 termasuk meletakkan Sulaiman Palestin bertanding Presiden UMNO, melawan PM5 yang dinaikkan dirinya juga, iaitu Tun Abdullah Badawi sehingga Mahathir keluar UMNO lagi, dan berlawan dengan PM6 Dato’ Seri Najib Razak (yang juga digunakannya untuk jatuhkan Pak Lah).

Hanya PM2, Tun Razak yang selamat – mungkin sebab umurnya tidak lama dan beliau mati ketika menjadi PM.

Kemudian kes TPM-TPM di bawah Mahathir. Musa Hitam menjadi mangsa pertama, kononnya Musa nak menjatuhkan Mahathir selepas penggal pertama (cerita yang direka oleh kem Mahathir). Musa dikatakan ‘membunuh’ kerjaya politik Mahathir, sehingga Musa memilih untuk meletak jawatan.

Beliau bergandingan dengan saingannya untuk Timbalan Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Mahathir sehingga berakhir dengan perpecahan parti tersebut. Ketika Ku Li memilih untuk melawan Mahathir dengan parti baru, Semangat 46, Musa memilih untuk meletak jawatan.

Ghaffar Baba menggantikan Musa, dan dilihat Mahathir tidak mengancam – bukan ‘PM material’. Kemudian anak emas Mahathir ketika itu, Anwar Ibrahim menang besar dalam pemilihan UMNO menjadi Timbalan Presiden sekaligus TPM. Tetapi Anwar juga dilihat sebagai ancaman, lebih-lebih lagi apabila dia ambil pendekatan berbeza berdepan Krisis Ekonomi 1997. Anwar difitnah, dipecat, dipenjarakan dan dipukul – insiden yang mencetuskan Reformasi dan melahirkan Parti Keadilan Nasional.

Seorang lagi watak selamat dipilih, Pak Lah yang akhirnya selamat menggantikan Mahathir pada 2003. Tapi bila Pak Lah menang dalam PRU 2004, membebaskan Anwar dan juga ambil pendekatan sedikit berbeza dengan Mahathir, serangan terhadap Pak Lah bermula sehingga naiknya Najib.
Dalam PRU14, perdamaian Mahathir-Anwar cukup bersejarah dan mengejutkan ramai. Tawarannya mudah: Mahathir sebagai PM7 dan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai TPM, dan selepas Anwar dibebaskan, diampunkan dan kembali aktif dalam politik akan dilantik sebagai PM8.

BERSATU juga meminta nak jadi parti dominan di Semenanjung. Jadi walaupun parti baru, selain mendapat calon PM, BERSATU juga mendapat 52 kerusi untuk bertanding, berbanding KEADILAN 51 di Semenanjung.

Pada PRU14, PH menang tetapi keputusan BERSATU tidak sehebat mana, dengan 13 kerusi berbanding 49 KEADILAN, 42 DAP, 11 AMANAH dan 8 WARISAN. Di Kedah, Kampung Mahathir, mereka hanya menang 3 kerusi termasuk Mahathir dan Mukhriz, berbanding KEADILAN yang menang 6 kerusi. BERSATU lebih berjaya di Johor dengan 5 kerusi, itupun masih di belakang KEADILAN dengan 7 kerusi. Tak dinafikan penyertaan BERSATU ada kesan, tetapi tidak sebesar yang dikatakan sesetengah penyokong mereka.

Selepas PRU, Mahathir mengatakan beliau tidak mahu berada sebagai PM lama, sekitar 1-2 tahun. Tetapi Mahathir pada masa yang sama menekan YB-YB UMNO untuk melompat masuk ke dalam BERSATU. Dari 13 Ahli Parlimen selepas PRU14, bilangannya meningkat sekali ganda menjadi 26.

Tetapi strategi itu nampak gagal untuk membunuh UMNO. Rancangan Mahathir untuk menjadikan BERSATU pengganti UMNO.

Kemudian Mahathir mula bermain mata dengan PAS dan UMNO. PAS dan 6 Ahli Parlimen UMNO mengumumkan sokongan mereka untuk Mahathir kekal sebagai PM hingga ke akhir penggal. Pelik juga, kalau parti pembangkang rasa Anwar benar-benar lemah, patut sokonglah peralihan kuasa. Tapi sebagai pembangkang mereka menyokong PM untuk kekal berkuasa.

Dan ketika mereka menyerang Kerajaan PH dikuasi DAP dan bukan Islam, mereka lupa kot yang lantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara bukan Anwar Ibrahim atau Lim Kit Siang, tapi pemimpin kesayangan mereka Mahathir.

Bukan itu saja, anak didik lama Mahathir, Dato’ Seri Azmin Ali diberi tugas besar sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi (portfolio khas yang dicipta untuknya). Dia juga mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen pembangkang, kononnya untuk projek-projek pembangunan. Yang pelik, ramai Ahli Parlimen Kerajaan tak dipanggil.

Waktu Mesyuarat Majlis Presiden PH 21 Februari 2020, ramai jangka akan perang besar kerana penyokong Anwar dah bising minta peralihan pada Mei 2020 (2 tahun sebagaimana Mahathir pernah sebut). Ketika Syed Saddiq penuh emosi pertahan Mahathir, dan BERSATU mengugut nak keluar PH (dan Azmin dan Zuraida juga nak Mahathir habiskan satu penggal penuh), Anwar yang dikatakan gila kuasa minta semua bertenang dan biar Mahathir tetapkan tarikh selepas APEC pada November 2020.

Dua hari kemudian berlaku Langkah Sheraton. Azmin mendakwa langkah itu, melibatkan Muhyiddin, Dato’ Seri Zahid Hamidi (UMNO), Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (PAS), Dato’ Patinggi Abang Johari (GPS) dan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal (WARISAN) untuk menyelamatkan Mahathir yang ditekan untuk memberikan tarikh peletakan jawatan.

Keesokan harinya pada 24 Februari, Anwar bersama-sama Mat Sabu (AMANAH) dan Lim Guan Eng (DAP) berjumpa Mahathir nak dapatkan penjelasan. Anwar kata dia puas hati Mahathir tak terlibat dengan Langkah Sheraton.

Tengahari tu, Mahathir hantar surat letak jawatan sebagai PM7 kepada Agong. Dia kemudian umum letak jawatan sebagai Pengerusi BERSATU lepas Muhyiddin maklumkan BERSATU keluar PH. Bila dia mengadap Agong, Agong cuba pujuk Mahathir supaya tak letak jawatan. Agong ulang benda ni waktu Titah Ucapan Perasmian Parlimen pada 18 Mei. Mahathir nak letak jawatan. Agong pun lantik Mahathir jadi PM interim (atau PM7.5) sehingga PM baru dilantik.

Pada 25 Februari, Agong mula proses bertemu setiap satu Ahli Parlimen untuk mendapat pandangan mereka siapa patut jadi PM8. UMNO dan PAS ambil pendirian minta Pilihan Raya diadakan. PH (kini PKR, DAP dan AMANAH) umum sokong Anwar. Mereka sebelum tu jemput Mahathir datang tapi dia pilih tak datang, sebab rasakan dia dapat sokongan ramai.

Sokong Ahli Parlimen adalah 107 Anwar, 69 (tiada jawapan – minta Pilihan Raya) dan 38 untuk Mahathir.

Mahathir dalam ucapannya pada 26 Februari umumkan nak buat Kerajaan Perpaduan, tetapi tolak kerjasama dengan UMNO. Langsung tak sebut Anwar. Untuk peralihan kena melalui Dewan Rakyat kata Mahathir.

Sehari lepas tu Mahathir umum Agong tak dapat sesiapa yang ada majoriti untuk jadi PM. Dia kata satu Sesi Khas Parlimen akan dipanggil pada 2 Mac (seminggu awal dari 9 Mac sepatutnya) untuk selesaikan isu ini.

Akhirnya Mahathir Speaker Dewan Rakyat umum sidang yang cuba dibuat Mahathir tak ikut peraturan. Bila Istana panggil Ketua-Ketua parti untuk berikan pandangan mereka tentang isu Perdana Menteri, BERSATU umumkan sokongan kepada Muhyiddin. BERSATU dah berpecah.

Cuba tengok permainan Mahathir sepanjang tempoh ni. Kalau dia tak letak jawatan sebagai PM, atau serah saja pada Anwar, Malaysia dah tak kalut macam ni. Bila nak bagi pada Anwar, Mahathir kata kena ada Sidang Dewan Rakyat untuk tengok sokongan Ahli Parlimen pada Anwar. Waktu dia bagi pada Pak Lah dulu pada 2003, Pak Lah tak perlu pun dapat sokongan Undi Percaya dari Parlimen. Hanya Hussein Onn, ketika ganti Tun Razak menjadi PM3 dapatkan sokongan Dewan Rakyat.

Tak cukup lagi dah jadi PM4, PM7, PM7.5, sekarang Mahathir nak jadi PM9. Konon 6 bulan, lepas tu tukar setahun. Dengar cerita, Mahathir kata nak tukar lagi sampai masalah Muhyiddin selesai.

DAP dan AMANAH tak sedar ke, Malaysia macam ni sebab kita tak selesaikan lagi masalah Mahathir?


Artikel ini ditulis oleh Saudara Sulaiman Ahmad.

Leave a Comment