Posted on: June 15, 2020 Posted by: Admin Comments: 0

TAHAP garis kemiskinan yang paling rendah di Malaysia tidak mempamerkan golongan yang paling memerlukan – ini termasuk golongan tanpa kewarganegaraan, golongan kelainan upaya dan segmen-segmen mereka yang kurang bernasib baik. Umumnya, Malaysia sebagai sebuah negara yang kononnya telah mencapai kemajuan besar dalam usaha membasmi kemiskinan. Namun pada hakikatnya, realiti kemiskinan di negara kita adalah masih sangat ketara.

Realiti ini gagal dicerminkan dalam garis kemiskinan yang diguna pakai hari ini memandangkan kadar kemiskinan nasional, yang diukur berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), dikatakan berjaya turun dari 49 peratus pada tahun 1970 kepada hanya 0.4 peratus pada tahun 2016. Ini merupakan angka yang ditunjukkan sekiranya kita mempercayai sepenuhnya kesahihan dan ketelusan komputasi data yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (2016 – 2020).

Rancangan Malaysia yang sama sebenarnya sudah pun memperkenalkan Indeks Kemiskinan Multidimensi (Multidimensional Poverty Index ataupun MPI) sebagai pelengkap kepada PGK. Sistem pengukuran yang sebahagiannya dibangunkan PBB ini tidak hanya menekankan pendapatan semata-mata, tetapi ia juga mengambil kira deprivasi dari pelbagai aspek lain termasuk akses kepada kesihatan, pendidikan dan taraf hidup untuk mengukur kadar kemiskinan secara lebih menyeluruh. Menggunakan sistem pengiraan ini, Malaysia telah mencatat kejadian kemiskinan multidimensi serendah 0.86 peratus setakat 2016.

Namun begitu, angka yang rendah ini adalah mengelirukan dan kurang tepat. Sistem pengukuran kemiskinan Malaysia telah ditegur Profesor Philip Alston, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, yang menyatakan bahawa MPI yang direkodkan terlalu rendah dan tidak dapat dipercayai kerana kebergantungan sistem tersebut kepada ukuran kemiskinan yang berdasarkan pendapatan. Kita memerlukan sistem yang mampu mengukur keperitan hidup rakyat secara tepat, supaya dasar-dasar yang dihasilkan berdasarkan ukuran ini benar-benar dapat membantu mereka yang paling memerlukan dengan cara yang tersasar.

Bantuan untuk rakyat

Di tengah-tengah ekonomi global yang dilanda wabak Covid-19, bantuan kewangan kini memainkan peranan yang mendesak dan penting dalam membantu rakyat yang dibelenggu seribu satu kesulitan. Pemerintah di seluruh dunia telah mengambil keputusan untuk mengedarkan bantuan dalam rupa wang tunai untuk menampung syarikat, pekerja biasa dan juga isi rumah. Dalam pada itu, beberapa negara sedang mula berjinak-jinak dengan konsep negara kebajikan dalam usaha melindungi rakyat mereka dari bencana ekonomi yang melanda.

Sepanyol, antara negara yang paling terkesan daripada impak wabak Covid-19 – kini sedang mempertimbangkan pelaksanaan sistem pendapatan asas universal sebagai instrumen sistemik dalam menjamin taraf hidup rakyatnya ketika berlakunya pergolakan ekonomi.

Di United Kingdom, pemerintah parti Konservatif mereka telah mengumumkan keputusan mengejutkan yang belum pernah dilihat sebelum ini untuk membiayai sehingga 80 peratus gaji pekerja syarikat.

Negara jiran kita Singapura pula yang biasanya sangat enggan untuk berbelanja secara besar-besaran telah menggunakan sebahagian daripada rizab nasional mereka untuk membiayai sebanyak 75 peratus daripada gaji pekerja syarikat.

Malaysia juga telah mengambil beberapa langkah untuk menyalurkan wang tunai secara terus kepada tangan rakyat dan membantu PKS. Isi rumah dengan pendapatan bulanan di bawah RM8,000 dan individu dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,000 layak mendapat bantuan. Namun, apabila saluran bantuan ditentukan oleh pendapatan dan pendapatan semata-mata, ia tidak mampu menangkap keseluruhan deprivasi yang dihadapi segmen rakyat yang berbeza.

Hasil daripada wabak ini, kita melihat kebangkitan golongan ‘miskin baru’, atau golongan ‘miskin yang berbeza’ (differently poor). Saban hari, ketidaksamaan dalam masyarakat terus meningkat dengan cara yang tidak dapat disangka.

Kekurangan di segenap dimensi

Di saat kesihatan masyarakat berada dalam ancaman, wabak Covid-19 juga telah menjadi saksi kepada ketidakseimbangan yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Walaupun teori mengatakan bahawa wabak Covid-19 akan tersebar tidak kira terhadap kelas B40 mahupun T20, namun hakikat kelompok B40 akan jauh lebih terkesan dari segi kesihatan, pendidikan, akses kepada perkhidmatan kesihatan, kualiti taraf hidup serta kemungkinan yang lebih besar mereka hidup dengan ancaman keganasan seperti penderaan rumah tangga dan sebagainya.

Berikutan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berpanjangan, pandemik Covid-19 secara tidak langsung telah menyingkap kerapuhan kewangan rakyat Malaysia lebih-lebih lagi bagi mereka yang hanya bergantung pada perniagaan kecil. Sudahlah hanya kais pagi makan pagi, mereka harus terus menempuhi kehidupan dengan sumber yang begitu terhad buat menampung keluarga.

Kini, golongan masyarakat seperti penjaja kecil terpaksa memilih antara risiko dijangkiti oleh virus yang berbahaya ataupun kebuluran akibat kehilangan sumber pendapatan sementara perusahaan besar sudah tentu turut terkesan namun masih mempunyai simpanan kewangan yang kukuh. Mereka juga sudah berpotensi untuk kembali stabil dan berkembang oleh kerana peraturan dan garis panduan yang ditetapkan cenderung menyebelahi mereka.

Keterbatasan akses pemulihan kesihatan turut menjadi kelemahan yang ketara tatkala kita tidak hanya merawat penyakit Covid-19 malah pelbagai jenis penyakit kronik yang lain perlu diberi perhatian yang sama. Petugas kesihatan yang sudah tentu sedang bertarung memulihkan pesakit Covid-19. Namun kesannya adalah usai ujian diagnostik serta rawatan berkala bagi pesakit bukan Covid-19 telah terganggu dan harus dirujuk ke hospital swasta dengan bayaran yang lebih rendah. Selain itu, ujian klinikal yang bertujuan untuk penambahbaikan ubat juga telah diputuskan untuk ditangguh sementara waktu bagi memberi prioriti buat pandemik yang sedang berlaku.

Justeru, tumpuan terhadap isu pendapatan dan akses kesihatan yang harus dirungkai, bahkan jurang antara masyarakat ini juga memberi kesan pada anak-anak yang tidak mampu menjalani proses pembelajaran seperti sedia kala. Pendidikan adalah hak buat semua dan ini tidak berlaku akibat limitasi akses pada internet dan ketidakmampuan memiliki peranti. Kombinasi yang sesuai bagi proses pembelajaran ini menjadi punca para pelajar ketinggalan dalam pendidikan. Jurang bandar dan luar bandar ini akan terus menghukum masyarakat yang tidak berkemampuan sekiranya tiada langkah iklusif yang diambil.

Realiti Covid-19

Isu ketidakseimbangan di dalam masyarakat ini bukanlah isu yang janggal pada rakyat Malaysia, perbincangan ketempangan ini berulang kali diutarakan. Namun pada saat ini, ia bukan hanya tentang ketidakseimbangan, yang lebih mustahak ditekuni adalah soal data rasmi yang mengklasifikasi dan mengukur tahap kemiskinan masyarakat. Kemiskinan tidak terhenti pada mereka yang tidak mempunyai kesenangan atau pun hanya berlindung di kawasan setinggan, kemiskinan ini datangnya daripada pelbagai dimensi.

Sudah tentu tidak mudah untuk menguruskan masalah klasifikasi kemiskinan di saat setiap antara kita harus memberi keutamaan pada pembasmian wabak Covid-19. Namun yang ingin saya tegaskan di sini adalah sekiranya isu pengukuran kemiskinan yang wujud daripada pelbagai dimensi ini tidak diusahakan, justeru negara akan terus berdepan dengan isu yang sama iaitu bantuan yang gagal disalurkan kepada kumpulan sasar yang tepat sekiranya kita sekali lagi terpaksa mengharungi badai bencana tanpa data yang tuntas.

Teruskan perjuangan dengan pangkalan data yang mampan

Sekiranya data kemiskinan ini mampu diberi perhatian dan tindakan yang mampan, saya yakin program-program komuniti akan jauh lebih memberi kesan pada penduduk setempat yang seterusnya akan memberi impak positif pada taraf kehidupan. Sejak 2018, Profesor Fatimah Kari, Pakar Ekonomi daripada Universiti Malaya bersama rakan-rakan penyelidik telah mendapati bahawa terdapat kecacatan dalam proses mengukur kemiskinan sedia ada di Malaysia.

Menurut beliau, proses mengukur kemiskinan harus dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti pesara KWSP di mana wanita lebih terkesan setelah bersara dari segi pendapatan, pengangkutan dan pemilikan kediaman berbanding lelaki.

Kita boleh sahaja berbangga dengan usaha jurang kemiskinan yang telah berjaya dikurangkan, namun kita mungkin terlepas pandang berkenaan indikator kemiskinan. Indikator ini yang menjadi unsur ekonomi di mana ianya telah mempengaruhi kehidupan masyarakat. Apabila disebut soal kemiskinan multidimensi, harus kita fahami bahawa data sedia ada mempunyai ketempangannya dalam mengklasifikasikan rakyat yang sudah tentu mempunyai tahap bebanan yang berbeza di samping memastikan pangkalan data ini adalah adil dan tepat.

Kini, ketika kita sedang gigih bertarung memerangi pandemik, dalam masa yang sama harus membendung kesenjangan yang semakin ketara, ayuh kita terus maju dan memulakan perjuangan dengan mewujudkan pangkalan data yang lebih mampan. Ini merupakan langkah asas deni terus memberi khidmat yang adil kepada masyarakat yang memerlukan merentasi pegangan politik dan hanya dengan jalan inilah kita akan menang.

Kami di peringkat parlimen Permatang Pauh telah menjalankan usaha bagi mengenal pasti ukuran kemiskinan yang dipengaruhi oleh pelbagai dimensi.

Diharapkan agar kemaskini indeks kemiskinan serta perubahan dalam pengumpulan data bancian dapat membantu proses pengagihan bantuan dengan tepat sesuai dengan kondisi penerima masing-masing, insya-ALLAH!

* Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh

Leave a Comment